Friday, January 11, 2013

Third Post: Ketika Hatiku Ingin Berhijrah

Bismillah.
Nukilan Ahmad A. (2010). Sedang dalam proses membacanya, Haha. Worth to read anyway, walaupun x pernah habis lagi. -.-"
Tajuk post ini telah dipetik dari sebuah buku nukilan Ahmad A. (2010). Bila berbicara mengenai peghijrahan, lazimnya, kita akan melihat dari sudut penghijrahan rohani. Dan post ini juga akan membincangkan mengenai peghijrahan dari perspektif ini.

Lumrah manusia melakukan kesilapan serta khilaf dalam kehidupan seharian, ditambah pula dengan persekitaran tipikal remaja yang memberi keutamaan kepada pencapaian duniawi. Saat kemanisan duniawi menyerap dalam setiap aliran darah kita, kita lupa akan suatu hakikat bahawa diri kita telah diheret semakin jauh dari Pencipta Yang Maha Esa. Oleh itu, menjadi suatu perkara yang sangat penting bagi kita sebagai seorang INSAN untuk sentiasa muhasabah diri dan menilai semula segala hal dan urusan yang kita lakukan sepanjang hari, adakah ia bertepatan dengan kehendak Illahi atau sebaliknya. Melalu penilaian inilah kita mampu untuk meletakkan satu tanda aras yang menjadi panduan untuk melahirkan 'diri kita' yang lebih produktif dan berguna untuk hari yang seterusnya. Banyak metodologi yang boleh diguna pakai untuk menilai diri kita, sebagai contoh, muhasabah diri sebelum tidur dengan memikirkan segala perkara yang dilakukan sepanjang hari atau ambil masa untuk bersendirian di tempat yang sunyi sambil memikirkan tentang perbuatan kita sepanjang hari.

Penilaian semula diri kita merupakan satu langkah yang amat penting bagi melakukan penghijrahan, agar kita tahu di mana kekurangan dan kelebihan dalam diri kita.Walau bagaimanapun, antara isu yang menjadi batu penghalang untuk kita melakukan perubahan adalah risau akan pandangan rakan-rakan serta orang sekeliling. Risau digelar hipokrit, risau dilabel 'bajet bagus', dan sebagainya. Akhirnya, kita terus dengan cara lama walaupun kita telah memiliki niat untuk berubah. Perubahan tidak mudah tetapi tidak mustahil. Jika kita terlalu memikirkan pandangan orang terhadap kita, maka kita tidak akan mampu untuk memuaskan hati setiap orang. Bukankah penilaian Allah itu yang lebih baik? Justeru puaskan lah hati Pencipta kita.

Mungkin juga ada yang takut untuk berubah kerana bimbang tidak istiqamah dan ragu-ragu dengan keikhlasan diri mereka untuk berubah. Hal ini berkait dengan diri kita sendiri, dan yang lebih parah lagi, isu ini lah yang menjadi penghalang terBESAR untuk kita berubah. Sememangnya untuk istiqamah itu susah, perlukan pengorbanan yang sangat lah besar. Namun, andai satu hari terdetik di hati ingin berubah, tidak perlulah berfikir terlalu panjang, sebaliknya terus sahaja berusaha untuk berubah. Samada ianya  berterusan atau tidak, itu biarlah menjadi urusan Allah untuk menentukannya. Bukankah HIDAYAH ITU MILIK ALLAH? Mungkin hari ini kita terdetik ingin berubah, namun, belum tentu lagi esok pun kita akan terdetik juga rasa itu. Maka andai hidayah yang diberikan hari ini tidak digunakan sepenuhnya bukankah ia sesuatu yang sangat merugikan bagi kita?

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." Surah Al-Qasas [28:56] 


Jadi, andai anda rasa ingin melakukan perubahan ke arah yang lebih baik, teruskan lah niat itu, tidak perlu berfikir panjang. Cukup sahaja dengan niat yang ikhlas, dan letakkan usaha serta tawakkal dan serahkan segalanya kepada Dia. Dia kan Maha Mengetahui sedangkan pengetahuan kita; manusia sangatlah terhad (limited). Dan andai usaha kita tidak berterusan, teruskanlah berdoa kepada Allah, supaya Dia sentuh hati kita sekali lagi. dan mungkin yang 'sekali lagi' ini kita akan betul-betul berubah, berbanding dari kita mensia-siakan Hidayah itu, lebih baik kita gunakannnya walaupun sementara.

Sumber Foto Blog Syafiq Salim

Hence, jadikan hari ini lebih baik dari semalam, dan mohonlah pada Dia agar jadi lah kita dalam kalangan orang yang mendapat hidayah.

Salam, be kind, be human. =)



No comments:

Post a Comment

Contributors